04 July 2008

Part 4

Sinar Bahagia

Hilmi sudah boleh pulang hari ini, lega rasa hati Salwa, kemalangan tempoh hari sungguh menakutkannya. Tiba-tiba kereta yang dipandu agak laju oleh Hilmi hilang kawalan kerana salah satu tayar pancit, segera dia memeluk Syuhadah dan melompat semasa Hilmi sedang cuba memperlahankan kelajuan kereta, mereka terselamat, dia hanya luka ringan, Hilmi pula luka-luka di muka, luka-luka di badan. Itulah kebesaran Yang Maha Esa, kalau dilihatkan keadaan kereta teruk jugak, kerana terbabas ke belukar, tapi mujur mereka semua sempat terjun keluar. Namun luka-luka Hilmi memaksa dia tidak mampu menggenggam tangan dengan baik, mulut sakit, hendak bangun pun payah.

“Abang, doktor kata petang ni abang dah boleh keluar, nanti saya suruh ayah datang ambil, saya tak payah baliklah kalau macam tu, tunggu sampai ayah datang ambil yer,” kata Salwa

“Iyer, saya pun malas duduk lama-lama di sini, baguslah kalau dah boleh balik,” ujar Hilmi.

“Ada kurang sikit pagi ni?” Salwa bertanya.

“Bolehler, sikit, tapi jari-jari saya masih sakit lagi ni, terima kasih kerana sudi menjaga saya,” perlahan Hilmi bersuara.

“Ishh abang ni, kan Salwa ni isteri abang, itukan tanggung jawab saya, walaupun….,” terhenti katanya.

“Walaupun saya tak pernah layan awak seperti isteri saya, berilah saya masa Salwa, saya masih tertekan, saya masih mengenangkan arwah isteri saya, itu perasaan saya, saya tidak boleh menipu diri sendiri,” Hilmi berkata.

“Tak apalah bang, saya faham, Insya-Allah saya faham, saya kagum dengan kasih abang terhadap kak Nura, bertuah dia, rugi saya tidak pernah mengenalinya insan bertuah itu,” ada getaran nada suara Salwa.

“Tak, aku yang buta Salwa, dia malang punya suami seperti aku, tetapi aku yang cukup bertuah kerana punyai suri seperti itu, lupakanlah,” kata Hilmi.

Salwa rasa sejak mereka bernikah, inilah kali pertama mereka berbicara begitu, Salwa gembira Hilmi ada sedikit perubahan.

Sudah tiga minggu Hilmi tidak berkerja, cuti sakitnya pada awalnya diberi dua minggu, kemudian ditambah lagi 3 hari, selebihnya dia mengambil cuti tahunan. Sengaja dia ingin berehat dan menenangkan fikirannya. Hatinya semakin merindui Nura, andai Nura ada, pastilah dia menjadi insan paling bertuah kerana Nura pastinya sentiasa di sisi. Tetapi apa kurangnya Salwa, dia jugak setia, istemewa, tabah dan selembut Nura. Hilmi rasa bersalah pada Salwa, tapi egonya masih utuh, hatinya pada Nura, sebab itulah sehingga kini hampir 7 bulan, Salwa masih seorang dara. Dia tahu berdosa, tapi dia tidak berdaya, dia tidak mampu untuk memenuhi tuntutan batin yang wajib itu.

“Ya, Allah berikanlah aku kekuatan menempuh ujianMu Ya, Allah,” doa Hilmi dalam hati.

“Assalamualaikum…,” sapa Salwa

“Waalaikumsalam, kenapa ni, cemas saja.”

“Ayah telefon mak jatuh semalam, kaki terseliuh, hari ni dia demam panas, abang izinkan tak kalau Salwa balik ke rumah sehari dua, kesian ayah dan adik-adik, tiada siapa uruskan makan minum mereka, tapi kalau abang tak izinkan tak apa Salwa faham,” Salwa meminta izin.

“Nura nak balik dengan apa?,” tanya Hilmi

“Mungkin Nura naik teksi, ataupun Salwa suruh ayah datang jemput, boleh Salwa bawa Syuhadah sekali?” Salwa bertanya.

“Terpulanglah, tapi kalau perlu nanti saya pinjam kereta kawan hantar awak.”

“Tak apa bang, mungkin ayah datang ambil kot, biar Salwa pergi telefon ayah dulu,” ujar Salwa.

Sudah dua hari Salwa berada di rumah ayahnya, Hilmi terasa sunyi, dia terasa kehilangan, tambahan pula, Syuhadah tiada bersama. Namun apa daya, kalau tak diizinkan Syuhadah mengikut ‘Ummi’nya pasti merengek saja dia nanti. Hilmi sudah bosan, hendak keluar kereta masih di bengkel. Selama dua hari Salwa di sana, sekali pun dia tidak menelefon Salwa, kalau ada pun Salwa sahaja yang menelefonnya. Hilmi menutup suis televisyen dan berlalu ke atas, dia ingin melelapkan mata di atas.

Sudah dekat sejam dia bergolek ke kiri, ke kanan, nanum matanya tidak jugak mengantuk, akhirnya dia bangun ke almari, ingin mencari buku-buku cerita untuk dibaca sementara menunggu matanya mengantuk. Di bukanya pintu almari, dicapai sebuah buku, tidak menarik minat, disimpan semula, ditarik buku kedua, jugak tidak berkenan. Dia terpandang sebuah buku, seperti diari. Mungkin Nura punya, tapi bukankah semua barang-barang Nura aku dah masukkan ke dalam kotak tempohari, kata hatinya. Diselak buku biru itu, sahlah diari, tetapi bukan Nura punya tetapi Salwa punya. Tertera nama Salwa Hani. Hatinya meronta-ronta ingin melihat isi kandungan buku itu.

15 May 2001

Aku diijabkabulkan dengan Abang Hilmi, sesungguhnya, aku tak pernah mengenali siapa dia, namun dari mak aku tahu, dia baru kehilangan isteri, punya anak yang baru berusia beberapa bulan aku tak pasti. Kesian aku mendengar, tak dapat aku bayangkan kalau aku di tempat anak kecil itu, hanya merasa belaian ibu selama seminggu sahaja. Aku tak pasti sama ada aku menerima Abang Hilmi sama ada simpati atau kerana emak, entah yang pastinya aku yakin takkan emak akan membuat pilihan yang silap. Moga aku bahagia dengan pilihan aku ini.

Hilmi membuka lagi….

15 June 2001

Genap sebulan kami bernikah, tapi aku sedikit kecewa aku masih lagi seorang dara. Apalah yang diharapkan oleh seorang isteri dari sebuah perkahwinan? Semestinya aku mengharap sebuah rumah tangga yang bahagia, dan diberi belaian oleh seorang suami. Tapi tidak bagi aku, aku tidak merasa semua kenikmatan berumah tangga. Aku kena faham, Abang Hilmi masih sayangkan arwah isterinya, tapi kini, dia punya aku, kenapa dia tak boleh terima hakikat ini. Tak apalah, baru sebulan, Insya-Allah aku akan terus berdoa, mudah-mudahan aku tabah….

Hilmi mula diserang perasaan bersalah… diselak lagi. Helaian demi helaian dibaca..

15 November 2001

Hati aku sedih yang teramat, aku sabar menanti Abang Hilmi pulang, aku dah siapkan baju untuk pulang ke rumah mak, aku rindu mak, aku rindu adik-adik, aku rindu ayah. Tetapi Abang Hilmi tak mau balik, tetapi dia izinkan aku balik. Apalah ertinya punya suami tetapi tidak bersama seroang isteri.. apalah erti aku jadi isteri kalau meninggalkan suami. Tapi akhirnya bila mak Abang Hilmi marahkan dia suruh balik juga, aku rasa bersalah sangat, aku rasa aku tak patut ajak dia balik, tetapi Abang Hilmi ikut permintaan mak, dia bawak aku dan Adah balik, Tuhan saja yang tahu, dua hari di rumah mak aku gembira atas ‘kebahagiaan’ kami walaupun hanya kepuraan sebenarnya.

17 November 2001

Sesuatu yang amat tidak terduga berlaku, kami kemalangan, tapi syukur kepada Ilahi, kami tidak parah, sekadar luka-luka kecil, cuma Abang Hilmi agak teruk sebab dia terjun semasa kereta hampir menjunam ke tepi belukar, tapi aku memeluk Adah dan terjun semasa dia cuba memeperlahankan kenderaan, kami terpelanting tepi jalan, nasib baik berumput tebal. Allah sering menguji aku, aku cuba menjaga abang Hilmi dengan baik dengan harapan dan doa semoga terbuka hatinya menerima aku sebagi isterinya, aku betul-betul terluka, aku sedih dan pilu hanya Tuhan saja yang tahu hati aku, tapi aku kena tabah. Kepada siapa aku hendak curahkan? Takkan dengan mak? Mana mungkin. Berdosa seorang isteri menceritakan hal rumah tangganya. Ya, Allah tabahkan hatiku, bukakanlah hati Abang Hilmi menerima kehadiranku.

Hilmi terpaku, rasa bersalah teramat menyerang hatinya. Dia ingat betapa setianya Salwa menunggunya saban hari di hospital. Balik rumah, dia hanya tidur di lantai beralaskan tilam kecil, dia senang lenang tidur di atas katil. Kejamkah aku? Kata hatinya. Tangannya sengal tak mampu menyuap makanan, tangan Salwa lah yang menyuapkan makanan ke mulutnya. Hendak ke bilik air, berpapah dia bersusah payah dengan kudrat wanita membawa Hilmi ke bilik air. Tengah malam Hilmi mengerang kesakitan, Salwa tetap setia berjaga, menenangkannya, menyapu ubat, membawakan air. Tetapi apa balasan Hilmi terhadap perempuan bergelar isteri itu. Dia rasa berdosa. Dia tidak patut memperlakukan Salwa sedemikian. Dia telah membuat keputusan. Dan dia tidak sabar menunggukan Salwa balik.

Salwa pulang dihantar oleh ayahnya, berlari-lari Syuhadah mendapatkan papanya. Hilmi meggomol anak kecil tu, gembira sekali. Dia memandang Salwa penuh erti. “Pergilah simpan beg tu dulu Salwa, nanti boleh kita minum sama-sama, mak dah buatkan minum petnag tadi,"” kata mak Hilmi.

Hilmi terus memandang Salwa tanpa bicara. Dia melihat perempuan yang sungguh murni hatinya dengan pandangan yang sayu dan rasa bersalah.

Selepas makan malam, Hilmi memanggil Salwa ke atas, dia ingin menyampaikan sesuatu kepada Salwa. Salwa berdebar-debar. “Kenapa abang panggiil Wa?,” tanya Salwa.

“Salwa, saya ingin berbincang sesuatu mengenai hubungan kita ni, saya bersalah selama ini kepada awak, saya pentingkan diri sendiri, saya tidak pernah hiraukan awak, saya tidak adil, saya mengambil awak sebagi isteri, tetapi saya mengabaikan awak. Saya tidak memperlakukan awak seperti seorang isteri, seperti mana isteri-isteri lain dapat dari seorang suami. Saya minta maaf, tapi awak kena faham, saya pernah kehilangan insan yang amat-amat saya sayang, sukar hati untuk menerima pengganti Nura, saya berharap awak faham,” ujar Hilmi.

Dia menarik nafas panjang, dan melepaskan sebuah keluhan kecil. Salwa yang dari tadi duduk di birai katil hanya mula bersuara. “Tak apa, bang saya faham, abang perlukan masa, saya faham, kalau saya pun mungkin lebih teruk dari apa yang abang alami, Insya-Allah saya tidak pernah menyesal atau tersinggung,” ujar Salwa denagn penuh kelembutan. Gadis ini sentiasa berhati-hati dalam tutur katanya, itulah yang dikagumi Hilmi.

“Tapi saya tidak patut buat begitu, saya kejam namanya, saya tidak boleh berterusan memperlakukan sedemikian, saya telah berfikir semasak-masaknya, mungkin jalan terbaik, biarlah saya melepaskan awak kerana saya tidak sanggup untuk mendera perasaan awak lagi, awak carilah insan lain yang boleh membahagiakan saya. Saya tidak mahu terus berlaku zalim dan diburu rasa berdosa berpanjangan,” Hilmi meluahkan.

Salwa tenang, matanya bergenang, Hilmi terus diburu rasa bersalah.

“Kalau itu kehendak abang, siapalah saya untuk menghalang, tapi percayalah, sejak hari pertama saya menjadi isteri abang, impian saya cuma satu, iaitu untuk mebjadi isteri abang sepanjang hayat saya, membahagiakan abang sepanjang hayat saya, menjadi isteri yang terbaik buat seorang suami, kerana sesungguhnya syurga isteri ada pada suami, itulah janji saya pada diri sendiri, tapi nampkanya saya gagal, saya tidak mampu membahagiakan abang, saya minta maaf. Saya tidak mampu jadi yang terbaik untuk abang, walau sedaya upaya saya cuba jadi yang terbaik untuk abang, Kalau itu keuputusan abang, saya rela bang, terserah,” Salwa menahan sendu.

“Salwa, jangan cakap begitu, awak isteri yang baik, cukup baik sehinggakan saya rasa bersalah, saya berdosa, sebab itu saya ambil keputusan ini saya tidak mahu lagi berpura-pura, saya tidak mahu lagi awak terseksa kerana tindakan dan perilaku saya selagi awak menjadi isteri saya, harap awak faham.”

Salwa bangun dan mula mengemas kain bajunya, dia akan balik ke rumah mak ayah esok. Malam itu tidurnya bertemankan air mata.Hilmi merasa amat-amat bersalah. Dia malu pada mak ayahnya, pada mak ayah Salwa.

“Kau dah melampau Hilmi, kenapa kau buat begini? Apa salah Salwa? Kenapa hah cuba kau cakap?” ayahnya sudah berang.

“Ayah, mak tidak apa salahnya Salwa pada saya, cuma saya rasa demi kebahagiaan dia sendiri, biarlah kami berpisah, saya tidak sanggup berpura-pura lagi ayah, saya masih belum lupakan Nura, saya tidak boleh menerima dia,” ujar Hilmi.

“Setelah dah nak dekat setahun kau kahwin dengan dia, kau kata kau tidak boleh lupakan Nura, kenapa kau ni? Kenapa tidak dari dulu lagi, sebelum kau nikahi dia, kau menolak tuah Hilmi, kenapa, setelah hampir setahun kau kata kau tidak bahagia, kenapa tidak dari dulu?” ayah tidak puas hati.

“Untuk pengetahuan mak, ayah……. se.. see.. benarnyanya Salwa itu masih dara….,” Hilmi menerangkan.

“Astaghfirullah hal adzim…., Hilmi betul apa kau cakap ni?” maknya bertanya.

“Betul ayah, sebab itulah, dari saya membiarkan dia terseksa lebih baik saya lepaskannya,” Hilmi berkata.

“Ayah tidak setuju, baik.. kalau begitu, aku nasihatkan, kau orang berpisah sementara, tenangkan fikiran masing-masing, kemudian baru buat keputusan,” tegas ayahnya."

***

“Mi, kau gila? Kau nak lepaskan perempuan sebaik Salwa? Sudahlah Mi, cukuplah sekali kau buat silap dahulu, jangan kau nak ulangi lagi, kau patut bersyukur kerana dikurniakan isteri yang.. ya Allah, cukup sabar, kau ingat senang ker? Hampir setahun Mi, dia masih suci… mana kau nak cari perempuan sesabar itu Mi? Kau sakit, siapa jaga kau Mi? Kau tengok Syuhada, cukup manja dan sayang dengan Salwa tapi.. kau nak lepaskan dia macam tu, kau betul-betul menolak tuah, kau fikir balik keputusan kau Mi, aku tak setuju sungguh, sungguh tak setuju. Kau balik fikir balik, aku rasa Nura pun kecewa dengan kau, ibu sebaik Salwa kau nak melepaskannya macam tu saja, kau lupa pesanan Salwa, fikirkan Hilmi, Nura sudah pergi, kita yang hidup, mesti teruskan hidup kita selagi belum dijemputNya,” Zakri betul tidak puas hati dengan keputusan Hilmi.

“Entahlah Zek, aku belum bercerai lagi, cuma berpisah, aku tak taulah Zek, aku kesian dia,”

“Kalau begitu perlakukanlah dia seperti seorang isteri, bukan melepaskan dia, beginilah, kau pergilah bercuti, tenangkan fikiran kau, buat solat Istiqarah, minta petunjuk, okey,” cadang Zakri.

Hilmi buntu sekarang, tetapi cadangan Zakri diikuti, borang cuti sudah dihantar, dia akan pergi ke pantai timur untuk bercuti. Dia perlukan penyelesaian. Petangnya dia mendapat tahu cutinya sudah diluluskan, dia memandu ke tempat pertemuannya dengan Nura saban Jumaat.

“Nura, abang buntu Nura, abang rinduka Nura, abang tidak mampu hadapi semua ini, tolong abang Nura, apa perlu abang buat? Abang rindu sangat dengan Nura, Nura hadirlah walau dalam mimpi, abang perlukan Nura sayang.” Air mata lelakinya tumpah jua.

Perjalanan ke Pulau Kapas, yang memakan masa yang panjang, cukup meletihkan Hilmi. Selesai check in di chalet, dia terus merebahkan badan ke tilam empuk itu, bayu laut sungguh menyegarkan. Hilmi sengaja memilih chalet yang betul-betul mengadap laut, dia mahu tenangkan fikirkannya yang kusut itu. Akhirnya dia terlelap. “Astaghfirullah hal adzim…..,” Hilmi mengucap panjang, dia bermimpi, dalam mimpinya Nura datang, tanpa sebarang suara, tetapi riak mukanya cukup menggambarkan dia sedang berduka, dia kecewa, dia sedih, Hilmi terfikir apakah kerana tindakannya berpisah dengan Salwa mengecewakan Nura. Akhirnya dia bangun, dia menuju ke bilik air, jam sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi, dia mengambil wudhuk, dan mula bersolat Istiqarah. Dia melakukan solat sunat itu dengan penuh kusyuk, mintak petunjuk Allah, itulah jalan terakhirnya.

***

Sudah dua hari dia bercuti di sini, hatinya tetap sepi, terlalu sepi. Rindunya pada Nura tidak terucap. Dia merenung ombak di laut, hatinya berdetik, dia merenung pantai di remang senja itu, setianya kau pantai, walau dihempas ombak, kau tetap setia di situ. Selesai solat maghrib malam itu, dia bersiap-siap hendak keluar, dia ingin keluar bersiar-siar dan mencuba ikan bakar di gerai-gerai makan sekitar jeti. Dia menutup pintu bilik dan berpusing, tiba-tiba dia dilanggar seseorang.

“Errr.. maafkan saya,” perempuan itu meminta maaf.

“Tak apa,”

Perempuan itu berlalu, Hilmi masih terpaku disitu, dia merenung perempuan itu. Akhirnya dia menuruti perempuan itu. Tiba di depan kaunter dia menunggu sehingga selesai semua urusan perempuan itu dikaunter. Dia bertekad dia mesti berkenalan dengan perempuan itu.

“Cik, maafkan saya, boleh kita bercakap sekejap,” pinta Hilmi.

“Yer, kenapa?” perempuan itu bertanya.

“Boleh kita minum, kita duduk di sana ok,” Hilmi mengajak.

Perempuan itu akur, mungkin nampak keikhlasan di hati Hilmi.

“Maafkan saya cik, nama saya Hilmi, cik?

“Panggil saja Lina, saya kerja di sini bang.”

“Ok, Lina, mungkin saya ni kira pangkat abang saja kot dengan Lina, untuk pengetahuan Lina, muka Lina betul-betul sama seperti arwah isteri saya,” ujar Hilmi lembut.

“Iyer, kenapa isteri abang meninggal?”

Hilmi terus bercerita dari mula, sehinggalah kisah dia dan Salwa. Hampir gugur air matanya, tidak tahu kenapa dia mampu menceritakan semua kepada gadis itu, mungkin bayangan Nura ada di situ. Dia merasa sungguh lega, gadis itu setia mendengar, dan memberikan pendapat, entah kenapa dia seakan terikut dengan apa yang gadis itu katakan, dia merasa bersalah kepada Salwa. Dia terpaku mendengar pandangan Lina, yang dirasakan seolah-olah Nura yang berbicara dengannya. Apakah ini petunjuk Allah, selepas solat Istiqarahnya. Akhirnya mereka berpisah. Hilmi berjanji pada Lina dia tidak akan mempersiakan Salwa. Hilmi balik ke bilik dengan hati yang lapang.

Malam itu dia bermimpi, dia bermimpi berada di kawasan yang sungguh lapang, di situ cuma ada mereka bertiga, dia, Syuhadah dan Salwa, mereka kelihatan sungguh gembira. Keesokan harinya dia merasa sungguh gembira. Keputusan telah dibuat, dia tidak sabar untuk kembali. Sebelum bertolak pulang dia membeli sekeping kad ucapan terima kasih untuk Lina, dan dia menyerahkan kepada pekerja kaunter, supaya menyerahkan kepada Lina, alangkah terperanjatnya apabila diberitahu tiada pekerja bernama Lina di situ. Hilmi menunukkan gambar Nura yang di dalam simpanannya, pekerja itu tetap menafikannya. Hilmi hairan, masakan Lina berbohong, dia bingung.

***

Hilmi memberhentikan kereta di depan rumah. Dia malu, tetapi demi Salwa dia perlu jugak ke sana. Dia memberi salam. Disambut bapa mertuanya, dia dijemput masuk. Dia sungguh kagum, sedikit pun tidak ada kemarahan dalam dirinya, meskipun apa yang telah berlaku antara dia dan Salwa. Bapa mertuanya memanggil Salwa, dan bapa mertua minta diri untuk ke rumah kenduri katanya, menyusul emaknya yang sudah pergi beberapa minit yang lepas. Salwa turun dan segera menemui Hilmi. Masing-masing diam. Hilmi tersenyum.

“Hai.. tak nak cium tangan abang macam selalu,” tanya Hilmi. Salwa terperanjat. Segera dia mendapatkan Hilmi, tangan dihulur, disambut Hilmi, lalu dikucup Salwa. Salwa ingin menarik kembali tangannya, tapi, tidak dilepaskan Hilmi, sebuah kucupan manja hinggap di kening Salwa. Salwa tergamam.

“Maafkan abang Salwa, abang tidak nampak permata di depan mata, maafkan abang, sudikah Salwa terus menerima abang sebagai suami,” Hilmi bertanya.

Salwa tersenyum penuh makna dan berlalu ke dapur menyediakan minuman untuk suami tersayang. Hilmi tersenyum. Adik-adik Salwa tiba-tiba muncul, riuh rendah rumah itu. Sementara menunggu mak ayah Salwa balik, Hilmi bersolat dahulu. Selepas makan malam, dia meminta izin untuk membawa pulang Salwa.

“Apa pula minta izin, bukankah dia isteri kamu,” ujar ayahnya.

Di dalam kereta Hilmi meluahkan dia kagum dengan mak ayah Salwa yang sunguh tenang seolah-olah tidak apa apa-apa berlaku antara mereka. Alangkah terkejutnya Hilmi bila Salwa menceritakan yang dia tidak cerita apa-apa tentang mereka pada keluarganya, dia memberi alasan bahawa Hilmi kerja luar daerah. Katanya hatinya yakin Hilmi akan kembali, terlalu banyak petunjuk Allah mengatakan Hilmi adalah jodohnya, bila setiap malam dia bersolat Istiqarah, sejak sebelum mereka bernikah lagi. Hilmi tersenyum, memegang erat tangan Salwa.

Sampai di rumah, mak Hilmi merupakan orang yang paling gembira bila melihat Hilmi kembali ke rumah bersama Salwa, dan melihat Hilmi dan Salwa lebih mesra dari dulu. Dia menadah tangan mengucap syukur. Syuhadah berlari-lari memeluk Salwa. Sudah seminggu dia demam kata Mak Zaharah. Selesai makan malam mereka sekeluarga menonton tv bersama. Syuhadah sudah lama terlelap. Akhirnya Hilmi menyuruh Salwa mengangkat Syuhadah ke atas.

Di dalam bilik, Syuhadah terjaga dan merengek kerana terjaga, Salwa menepuk-nepuk badan comel itu dan dia terlelap semula. Hilmi kemudiannya masuk ke bilik jua. Dia mengalihkan Syuhadah ke atas katil bayi. Dan dia menutup lampu dan berlabuh sebelah Salwa. Tangan Salwa dibelai lembut, lalu dikucup. Salwa pula berdebar kencang. Hilmi terus membaringkan Salwa. Malam terus berlalu dengan bahagia.

“Abang bangun bang, solat subuh, “ Salwa mengejutkan Hilmi yang masih lena.

“Salwa dah mandi? Tak sejuk ke mandi lama-lama pagi-pagi,” usik Hilmi. Satu cubitan manja singgan di lengan Hilmi. “Tunggu abang mandi, kita solat sama-sama, mulai hari ni, abang imam kepada Salwa ok?”

Salwa terasa amat bahagia. Syukur kepada Ilahi kerana doanya dimakbulkan. Selesai bersolat, mereka bersama-sama ke bawah bersarapan. Melihat mereka bersama begitu, hati ibu mana tidak gembira. Mereka makan bersama, sebelum Hilmi ke pejabat semula. Hilmi sudah pandai mengusik Salwa, dan Salwa sudah pandai mencubit manja lengan si suami.

Di pejabat Hilmi kelihatan sungguh ceria sekali, berkali-kali dia mengucapkan terima kasih kepada Zakri. Dia merasa bersyukur kerana membuka hatinya untuk Salwa. Dia juga menceritakan peristiwa misteri mengenai Lina. Dia betul-betul pelik hingga sekarang.

“Hai… tak lama lagi Syuhadah tu boleh adik ler kot,” usik Zakri

“Huhh… Insya-Allah, silap-silap kembar lagi, ha.. ha…,” Hilmi menambah.

Mereka menyambung kembali kerja mereka, Hilmi begitu ceria. Zakri merasakan Hilmi sudah mulai melupakan Nura sedikit demi sedikit. Dia kagum dengan kesabaran Salwa. Beruntung Hilmi, dapat isteri sesetia dan sesabar Nura, kemudian bertemu jodoh dengan Ustazah Salwa. Dia juga yang masih sendiri, dia masih mengharapkan semoga dia bertemu isteri sesetia dan sesabar Nura dan Salwa.

***

Pelan bangunan baru itu sudah disiapkan. Hilmi sudah merasa lega, sudah lama tertangguh plan itu, cuma sekarang dia hanya perlu berbincang dengan bosnya mengenai bangunan itu, dan membuat beberapa perubahan mungkin. Telefon berdering, Hilmi menyambutnya.

“Assalamualaikum,” lembut suara di sana memberi salam.

“Waalaikumsalam, siapa ni?” tanya Hilmi.

“Abang, ni Wa ler.”

“Hah, Salwa kenapa? Rindu abang yer?” usik Hilmi.

“Ishh abang ni ke situ pulak, Syuhada bang, Syuhadah demam panas, risau Salwa, dia tak mau makan minum, susu pun sikit saja dia minum, asyik meragam saja, kalau abang boleh balik sekejap, kita bawak pergi klinik, ayah tak ada dia baru keluar ke Melaka, ikut Pak Haji Samad pergi ziarah saudaranya meninggal,” terang Salwa.

“Ya Allah iya ker, ermm kalau macam tu, nanti masa lunch abang balik sekejap, Salwa siap-siapkan apa yang patut,” Hilmi mula cemas. Sementara menantikan jam 12.00 tengahari, dia gelisah. Tak tenteram perasaannya. Dia amat risaukan, kalau apa-apa berlaku, maklumlah, itulah zuriat satu-satunya dia bersama Nura, dia sungguh sayangkan Syuhadah.

Jam 12.20 Hilmi sudah sampai di depan rumah, Salwa dah siapkan segala kelengkapan, bekalan susu Syuhadah sudah siap dibancuh, kad klinik, tuala kecil sekiranya Syuhadah muntah. Semuanya disiapkan, Hilmi merasa bangga dengan Salwa, cekap menguruskan rumah tangga, meskipun dia masih muda.

“Encik, panas dia tinggi sangat, bahaya ni, dia perlu dirawat di sini, kita takut, panasnya sampai ke kepala dan boleh menyebabkan sawan, kami akan berikan ubat ni, dimasukkan melalui punggungnya, Insya-Allah biasanya panas badan akan kurang, sekiranya esok panas dah turun, bolehlah dia balik,” doktot menerangkan.

Hilmi terdiam mendengar, dia risau sekali, dia takut apa-apa berlaku, Salwa menenangkannya. Dia perlu kembali semula ke rumah, mengambil beberapa keperluan untuk Salwa dan Syuhadah. Dia merasa terharu, sekali lagi Salwa akan menjaga anaknya yang sakit. Dahulu menjaganya semasa kemalangan, kini dia menjaga Syuhadah seperti anaknya sendiri. Hampir menitis matanya bila dia mengenangkan budi Salwa. Baru disedar Salwa permata yang amat berharga. Tidak silap dia mengikut pilihan emaknya. Namun di saat-saat begitu ingatannya tetap kuat pada Nura, sekiranya Nura masih ada pastinya Nura akan menjaga Syuhadah dengan penuh kasih sayang. Lemah langkah kakinya mengenangkan nasib Syuhadah yang sudah tidak bermaya di pangkuan Salwa.

Sudah dua hari Syuhadah dirawat di hospital, panasnya tidak jugak kurang, hatinya semakin risau. Dia bimbang sekiranya apa-apa berlaku pada Syuhadah. Doktor yang merawat ada menerangkan, bahaya kalau demam panas berlarutan, boleh menyebabkan sawan, boleh menyebabkan pekak, boleh menyebabkan lumpuh dan mungkin boleh menyebabkan maut. Dia hanya mampu bersolat hajat dan berdoa. Salwa jugak sering dilihat bersolat hajat, membaca surah Yassin memohon semoga Syuhadah cepat sihat. Risau benar hatinya. Berat badan berkurangan, kerana selera makannya langsung hilang, Syuhadah tidak selincah dahulu.

Pagi tadi sekali lagi ubat dimasukkan ke dalam badan Syuhadah, ayahnya juga ada mengambil air penawar dari Darul Syifa di Bangi. Dia berdoa semoga semua usaha mereka akan berhasil. Dia takut kehilangan sekali lagi. Malam itu dia pulang ke rumah denagn hati yang benar-benar kusut. Setiap panggilan telefon yang masuk, amat mendebarkan hatinya. Dia takut kiranya panggilan yang membawa perkhabaran duka. Dia mengambil wudhuk, bersolat hajat, dan membaca Yassin, tiba-tiba telefon berbunyi.

“Hello,”

“Abang, ni Salwa ni bang, abang tengah buat apa?,” tanya Salwa.

“Kenapa ni Wa,” Hilmi cemas, dia tidak menjawab pertanyaan Salwa.

“Saja Wa telefon, abang, Alhamdulillah Adah dah kurang panas, kali terakhir bacaan suhu badannya dah kurang banyak, syukur bang, Wa ada tanya doktor, doktor kata kalau esok petang bacaan terus turun, dia boleh keluar,” terang Salwa.

“Syukur, Alhamdulillah, lapang dada abang, syukur, Wa dah makan?” tanya Hilmi.

Mereka terus berbual, Hilmi terasa bahagia, menyesal kerana mengabaikan Salwa yang begitu luhur budinya.

***

Sejak Syuhadah keluar hospital dua minggu yang lepas, selera makannya bertambah, berat badan dia kembali naik, dia juga amat-amat manja dengan Salwa. Hilmi juga sudah betul-betul menjadi suami yang betul-betul bertanggung jawab. Salwa bahagia. Sudah sebulan lebih Salwa merasa nikmatnya menjadi seorang isteri yang disayangi suami.

“Kenapa ni Salwa, pucat saja,” tanya Mak Zaharah.

“Entalah mak, perut saya ni sakit sangat mak, sakit betul, sakit sampai ke pinggang rasanya.”

“Hai… agaknya kamu ni berisi tak? Kamu mengandung ker?,” tanya Mak Zaharah.

“Entahlah mak, nak kata mengandung, saya ada datang kotor.”

“Memang ler, ada setengah orang, mengandung, tapi uzur tu ada juga, tidak sama Salwa,” terang Mak Zaharah.

“Nanti kalau Hilmi balik, kamu ajaklah dia pergi klinik, kalau betul kamu mengandung, Alhamdulillah, kalau tidak pergi buat check up, kenapa kamu selalu sakit perut,” nasihat Mak Zaharah, Salwa hanya mengangguk.

“Sudahlah kamu pergilah baring, jangan makan apa-apa ubat, takut kalau kamu mengandung, tidurlah, biar mak saja jaga Adah ni,” Salwa akur, dan naik ke bilik lalu berbaring, dia juga berdebar-bedar, kenapalah dia begitu, dia selalu saja kepenatan. Dia merasa risau dan takut tiba-tiba.

“Salwa, kenapa ni,?” Hilmi bertanya lembut.

“Eh abang dah balik, maaf Wa tak sedar, dah pukul berapa ni?”

“Pukul 6.00, kenapa,?” Hilmi bertanya.

“Wa belum solat lagi bang,” bingkas dia bangun, tetapi akhirnya dia rebah semula, kepala terasa berat, perutnya semakin sakit, badannya juga sedikit panas.

“Ya, Allah kenapa ni Wa, jangan buat abang risau, Ya Allah baru habis sakit Syuhadah, kini diuji pula dengan sakit Salwa,” dia merasa amat cemas.

“Biar abang bantu ke bilik air, kamu solat sambil duduk sajalah, nanti rebah pulak,”

Hilmi duduk di birai katil menanti Salwa selesai solat, bimbang kalau-kalau Salwa rebah lagi. Selesai Salwa berdoa, segera dia mengarahkan Salwa bersiap-siap, dia akan membawa Salwa ke klinik, risau benar hatinya.

“Tahniah puan, positif, nampak dua jalur merah ni? Kalau ada satu jalur, makna negatif, tidak mengandung, tapi ini dua jalur, maknanya positif, tahniah!” ujar doktor. Salwa tersenyum, Hilmi di sebelah sudah hilang malu, terus dikucup tangan lembut Salwa, gembira bukan kepalang.

“Jangan banyak buat kerja-kerja lasak masa peringkat awal kehamilan, dalam perubatan kita panggil semester pertama kehamilan, janin baru seketul daging, belum terbentuk menjadi janin yang sempurna, Insya-Allah usia janin baru 6 minggu, means baru nak masuk 2 bulan, biasanya dalam masa 3 minggu pertama bulan kedua, kesemua organ dan struktur badan terbentuk. Pada masa ini para ibu akan mula merasa mual. Gusi dan jari juga mula terbentuk. Organ-organ yang telah terbentuk ini akan terus membesar. Jantung bayi mula berdegup dengan stabil, dan tulang rangka semakin mengeras, sebab itulah puan kadang-kadang merasa sakit sekitar perut hingga ke pundi kencing, biasalah ini anak pertama, pertama kali mengandung, jadi rahim tu baru pertama kali hendak mengembang, memang sakit sikit,” doktor menerangkan panjang lebar.

“Oooo, begitu, patutlah saya selalu sangat sakit perut, dan terasa hendak buang air, biasanya berapa bulan janin terbentuk lengkap,?” tanya Salwa

“Ok, biasanya, pada bulan ke empat, Ibu akan mula merasakan pergerakan janin di dalam kandungan. Ultrasound boleh dijalankan bagi melihat janin di dalam kandungan. Ibu boleh melihat kepala, tangan dan jari bayi serta tulang belakang dan jantung janin. Dengan kemudahan ultrasound umur janin boleh ditentukan dengan mengukur saiz janin (dari kepala hingga punggung janin). Setiap pembentukan janin dapat dilihat melalui ultrasound. Masa ini roh telah ditiupkan ke dalam janin itu, puan boleh berkomunkasi dengan baby, jadikan ia satu aktiviti yang menyeronokkan untuk puan dan suami. Untuk puan, saya akan lakukan ultrasound minggu depan, ini hanya untuk memastikan kedudukan janin, terletak di dalam rahim, baiklah nanti saya akan bekalkan awak dengan brosur tentang kehamilan, ok… saya akan bagi ubat tahan muntah, vitamin dan juga awak banyakkan minum susu, supaya anak dan ibu lebih sihat, kalau ada apa-apa masalah cepat-cepat datang ke klinik, ok?” kata doktor.

Mereka berdua beredar dengan perasaan yang sungguh-sungguh gembira. Hilmi gembira kerana dia orang pertama tahu Salwa mengandung, tidak seperti masa Nura mengandung, dia hanya tahu bila Nura jatuh pengsan dan dibawa ke hospital. Dia berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Kini Hilmi menghitung hari untuk melihat zuriat keduanya, setiap malam dia mengusap perut Salwa, bahagia dirasakan. Salwa juga tidak sabar. Namum tidak seperti Nura, Salwa alah teruk. Mabuk mengandungnya menjadi-jadi. Badan sentiasa lemah, setiap pagi pasti muntah, makan sikit muntah, hidungnya menjadi sungguh sensitif, tercium bau tumisan bawang pun cukup membuatkan dia memuntahkan segala isi perutnya. Hilmi juga terpaksa bersabar, adakalanya disuruhnya Hilmi tidur di bawah kerana katanya badan Hilmi berbau. Biasanya terpaksalah Hilmi mandi sebelum tidur, siap berbedak. Tetapi Hilmi tidak kisah memikirkan kerenah ibu mengandung.

Salwa membawa perut yang makin sarat, Syuhadah pun seolah mengerti yang Umminya tidak larat, jadi dia kurang meragam dan pandai membawa diri, bermain sendiri, langsung tidak menyusahkan Umminya. Salwa dapat merasakan Syuhadah memang seorang anak yang baik.

“Assalamualaikum…,” Hilmi menyapa.

“Waalaikumsalam,” jawab Salwa, menghulurkan tangan untuk mencium tangan Hilmi, diikuti dengan Syuhadah, mungkin biasa melihat Umminya sentiasa bersalam dengan papanya, dia pun turut bersalam.

“Macam mana hari ni? Sihat?”

“Bolehlah bang, lenguh pinggang saja, maklumlah baby abang ni dah nakal bergerak, tak larat saya, abang jangan lupa esok check up saya, abang dah ambil cuti?” tanya Salwa.

“Alllahhh, terlupa pulak, alamak macam mana ni? Salwa suruhlah ayah hantar ker, atau Salwa naik teksi?”

“Sampai hati abang, siapalah saya kan bang,” kata Salwa dan berlalu pergi. Hilmi tersenyum, ermm ragam orang mengandung, sensitif sungguh.

Di dalam bilik, Salwa menangis teresak-esak, sedih bila Hilmi sengaja melupakan tarikh esok, berkali-kali diingatkan Hilmi, tapi lupa juga akhirnya dia. Dia merasa sungguh sedih.

“Hai menangis pulak sayang abang ni,” tegur Hilmi sebaik saja, menyelak pintu bilik. Salwa memalingkan muka. “ishh Wa ni, buat malu kat anak kat dalam perut tu saja, dah besar-besar menangis, baby tengok Ummi nangis,” usik Hilmi sambil memegang perut Salwa. “Abang dah ambil cuti dah, dah lulus pun, minggu lepas lagi abang dah apply, senyum sikit,” usik Hilmi.

“Betul ni? Abang ni saja tau.” Satu cubitan manja hinggap di lengan Hilmi. Hilmi menangkap tangan itu dan dibawa ke mulut lalu dikucup manja. Bahagia dirasakan. Masakan dia akan membiarkan Salwa, cukuplah sekali silapnya dengan Nura dahulu, takkan diulangi.

Salwa menanti giliran dengan penuh sabar, tak ramai sangat orang di klinik, tetapi dia gelisah, rasa tidak selesa, pinggangnya makin lenguh, perut asyik terasa lapar sahaja. Hilmi di sebelah leka membaca surat khabar. Dia merasa lega apabila namanya dipanggil.

“Apa khabar puan?,” tanya doktor.

“Baik, letih ler doktor, lenguh pinggang, lenguh kaki, tak larat saya,” Salwa bercerita.

“Mestilah, dah dekat nak bersalin memang macam tu, sabar jerlah, bukan senang nak jadi ibu kan? Ok hari ni saya akan scan, mungkin scan yang terakhir kot, ok, boleh baring sana,” doktor memberi arahan.

Hilmi membantu Salwa naik ke atas katil yang agak tinggi itu, susah payah dia mengendong perut naik ke katil, Hilmi suka melihat ujian ultrasound dilakukan, dia gembira melihat kedudukan janin di dalam rahim yang bergerak-gerak, dalam melihat denyutan jantung bayi, betapa besarnya kuasa Allah. Pertama kali dia melihat janin di dalam rahim ialah bila pertama kali dilakukan ujian ultrasound semasa usia kandungan Salwa hendak memasuki bulan ke 3, hampir menitis air matanya melihat kedudukan bayi yang bergerak-gerak di dalam perut, kini dia dapat melihat dengan jelas setiap pergerakan bayi yang di dalam perut Salwa. Dia merasa sungguh bahagia, tidak sabar bertemu dengan orang baru, tambahan pula, kali terakhir di scan dia mendapat tahu bayi itu anak lelaki, kini dia akan punyai sepasang anak.

“Ok, puan, mengikut ukuran bayi, usia kandung sudah 38 minggu, bayi dalam keadaan sihat, jantung normal, tumberasan bayi juga baik, bagus, tidak ada masalah,” doktor menerangkan. “Insya-Allah bayi bersedia untuk dilahirkan bila-bila masa sahaja, puan boleh banyak bergerak pada masa ini untuk memudahkan proses kelahiran,” doktor menambah.

“Doktor kata bila-bila masa?” tanya Salwa.

“Iya, saya menjangkakan minggu depan, tapi tidak mustahil sebelum itu, bersedia sahajalah.”

Mereka kembali semula ke rumah selesai semua urusan. Hilmi berjanji akan membawa Salwa dan Syuhadah keluar membeli belah petang nanti, masih ada yang perlu dibeli bagi menanti kehadiran orang baru.

Salwa merasa sungguh tidak berdaya, dia dapat merasakan gerakan bayi semakin kuat, boleh dikatakan setiap lima belas dia merasa pundi kencing bagai ditekan-tekan, sesekali terasa seperti hendak membuang air besar. Dia tahu saat untuk dia melahirkan bayi ini makin hampir. Hilmi masih lagi di pejabat. Dia masih lagi berbaring di atas katil, lenguh berbaring dia bangun berjalan. Nanum, tekanan bayi makin kuat, terasa seperti hendak luruh segala isi perutnya. Akhirnya dia memanggil mak mertuanya, dan sepantas kilat Mak Zaharah menghubungi Hilmi.

Hilmi sampai 20 minit selepas itu, segera dia meluru ke atas, bersusah payah dia memapah Salwa turun ke bawah, menuju ke kereta. Mak Zaharah pula kelam kabut mencari tudung, dan mnghubungi keluarga besannya. Mereka semua bergegas ke hospital.

Salwa sudah tidak tertahan sakitnya, Mak Zaharah tidak berhenti-henti menyuruh Salwa berzikir, berselawat. Sampai di hospital, segera Hilmi mendaftar, menyerahkan rekod perubatan Salwa, dan dengan segera, jururawat menyorong Salwa ke bilik bersalin, diiringi Hilmi. Hilmi sungguh cemas, keadaan makin cemas bila melihat banyak darah yang keluar. Salwa mengalami tumpah darah. Hilmi cemas, dia terkenangkan begitulah nasib Nura dua tahun yang lepas. Dia berdoa janganlah sesuatu yang buruk berlaku, dia risau sekali. Dia sungguh takut keadaan yang sama akan berulang. Nura meninggal kerana kehilangan terlalu banyak darah. Kini Salwa menghadapi situasi yang sama. Dadanya berdegup kencang, ngeri dan cemas melihatkan darah yang turun sungguh laju.

Doktor yang membuat pemeriksaan mendapati uri yang ada di dalam rahim itu berpusing ke bawah, keadaan amat merbahaya sekiranya uri di bawah. Kerana tumpah darah pasti akan berlaku. Doktor agak hairan, kerana pemeriksaan dua minggu lepas kedudukan uri masih di kedudukan sepatutnya. Tapi itu semua urusan Allah. Sedangkan Siti Mariam boleh mengandung Nabi Isa tanpa berlakunya persetubuhan, inikan kedudukan uri, fikir Hilmi, yang penting dia tak sanggup kehilangan buat kali kedua.

Demi menyelamatkan keadaan dan bagi mengelakkan Salwa kehilangan lebih banyak darah Salwa juga perlu dilakukan pembedahan kecemasan bagi menyelamatkan dua nyawa. Hilmi makin gementar, dia tidak mampu berdiri, kakinya mengeletar, seluruh badannya terasa seram sejuk. Dia takut kehilangan sekali lagi.

***

Hilmi melipat kembali tikar kecil itu, di ambil bekas berisi air, disiramnya di pusara itu. Surah Yassin sudah disimpan kembali ke dalam poket. Dia melangkah longlai ke kereta. Hatinya amat sebak, hatinya terasa amat pilu. Namun dia sedar, kuasa Allah mengatasi segalanya. Dia terima Qada dan Qadar seadanya. Hanya doa dan bacaan ayat-ayat suci sahaja penghubung antara mereka sekarang. Dia meninggalkan perkarangan kubur dengan hati yang berat. Sampai di rumah, dia tidak segera masuk ke rumah, dia berlegar-legar sekitar rumah, dia berjalan menuju ke taman mini mak dan ayahnya. Dia rasa aman di situ, melihat kehijauan pokok-pokok yang sederhana beasr itu. Melihat kesegaran bunga-bunga, agak lama dia di situ.

“Assalamualaikum,” Hilmi memberi salam.

“Waalaikumsalam, kau ke kubur lagi Hilmi?” tanya maknya.

“Ya mak, macam mana mak tahu?” tanya Hilmi.

“Habis tu, kau tak segera masuk ke rumah, mesti kau ke kubur, kau ingat pesanan mak, balik dari kubur, jangan lekas masuk ke rumah, nanti bayi meragam, kan,” kata Mak Zaharah.

“Adam tidur ker,” tanya Hilmi.

“Ada kat atas, baru lepas dimandikan ada kat ataslah tidurlah agaknya.” Maknya menjawab. Hilmi segera mengatur langkah ke atas.

“Ermmm lembut betul muka Adam, macam muka Salwa,” kata Hilmi.

“Ye ker, tapi ramai orang cakap macam muka Syuhadah masa kecil ye ker,” tanya Salwa.

“Ha’ah ada jugak sikit-sikit, dua beradik nak ke mana rupa parasnya,” kata Hilmi.

“Hari ini dah masuk 44 hari, esok 45 hari, lepas tu merdeka, dah habis pantang, rimas jugak saya, berkurung saja,” kata Salwa.

“Iyer, sekejap yer, dah 45 hari, ermmm cepatlah besar anak papa, boleh kita pergi main badminton sekali,” usik Hilmi.

“Abang ke kubur kak Nura?,” tanya Salwa.

“Ha’ah, Salwa marah, kecil hati, cemburu?,”

“Ishh, abang ni cemburu pada yang dah tiada gila namanya, saja Salwa tanya, tak apalah bang, nanti anak-anak kita dah besar, kita bawak mereka menziarah bersama,” kata Salwa.

Hilmi rasa sungguh bertuah, dia mengenggam tangan Salwa erat lalu dikucup.

“Abang bahagia dengan Salwa.”

Oh, burung terbanglah kau, sampaikan kepada dunia, aku sungguh bahagia…."

- TAMAT -


2 comments:

Honeylemon said...

abang hilmi.......

ecececehhhh.... buku kan la ceta nie... hehehe...

aL-gOjO said...

hehehe
Tamat sudah :)
ingat nak buat sampai 10 part, baru korang tertunggu² :p

honey: nak buku kan takut di tuduh plagiat :p sebab dapat dari emel. so share kat sini jela :)

p/s: akan upload citer yang lagi sensasi :)

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin