03 July 2008

Part 3

Sinar Harapan

Selepas pertemuan terakhir dengan Zati, Hilmi langsung tertutup hati untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana perempuan. Tumpuan sepenuhnya hanya untuk Syuhada dan kerjayanya sahaja. Betul kata ibunya dia mesti cari pengganti Nura, yang mempunyai hati seluhur Nura. Arrrghhh.. rindunya abang pada Nura, rindu belaian kasih Nura, rindu masakan Nura yang disediakan dengan penuh kasih sayang seorang isteri. Rindu senyuman Nura, tapi dibayar berjuta ringgit takkan Nura hidup kembali.

“Hilmi, mak nak berbincang dengan kau ni Hilmi,” tegur mak Zaharah.

“Ada apa mak? Cakaplah.”

“Mak kesian sungguh tengok si Syuhadah ni Hilmi, kau ni pun mak tengok dah tak beria dengan budak pompuan tu dah kan? Mi mak cuma nak bahagiakan kau dan Syuhadah saja, boleh mak saja yang carikan pengganti Nura tu Hilmi? Mak kesian sangat dengan Syuhadah ni, kecil-kecil lagi dah tidak beribu,” kata maknya.

“Kenapa mak dah bosan menjaga Syuhadah ker?” Hilmi bertanya.

“Ya, Allah Hilmi, kesitu kau, mak tak kata begitu, tapi kasih aku ni kasih nenek, tidak sama dengan kasih ibu.”

“Begitu jugak kasih ibu tiri tak sama dengan kasih ibu sejati,” Hilmi membalas.

“Hilmi, kalau kau setuju, mak ada berkenan dengan seorang cikgu tadika ni, Ustazah Salwa, dia mengajar dekat tadika di surau kita ni, baik budaknya, mak yakin dia mampu menjaga Syuhadah dengan baik, dengan ilmu agama dan kelembutan yang ada dengannya, lembut orangnya, mungkin lebih lembut dari Nura,” maknya bercerita.

“Mak!! Tolong jangan bandingkan dengan Nura mak, Nura saya tiada tandingannya, kalau mak berkenan dengan dia, tolong jangan bandingkan dengan Nura, saya tidak suka, dan Nura adalah ibu terbaik buat Syuhadah, takkan ada yang akan lebih baik,” Hilmi kecewa.

“Maafkan Mi, mungkin mak berkenan sangat, kau kenallah dia dulu, sebelum buat keputusan, nanti mak bertanya ibunya.”

“Tak payahlah mak, elok kata mak, eloklah tu, saya ikutkan sahaja, saya malas nak fikir akan hal ini,” Hilmi berlalu, mengendong Syuhadah dan dibawa ke bilik. “Malam ni dia tidur dengan saya saja mak,” Hilmi menambah. Di dalam bilik, Hilmi bermain dengan Syuhadah, dia merasakan bahawa Nura juga berada bersama di tika itu, bermain bersama, Hilmi mencium Syuhadah seolah mencium Nura, Hilmi membelai Syuhadah, akhirnya dia terlena didalam belaian papanya. Rindunya Nura pada Abang…

Majlis akad nikah selesai dijalankan, bagi pihak Hilmi, majlis jamuan makan kecil-kecilan diadakan. Namun bagi keluarga Salwa, ini majlis yang pertama, kenduri diadakan dengan meriah. Hilmi sungguh hiba terkenangkan Nura. Hilmi tiada rasa gembira, pilu di hati hanya Ttuhan saja yang tahu.

“Mi, mengapa kau ni, kau mesti gembira, ini hari pernikahan kau,” Zakri menasihatinya.

“Entahlah Zack, aku tak pandai berpura-pura, aku boleh bohong orang lain, tapi tidak untuk diri sendiri,” Hilmi meluahkan.

“Come on, sekurang-kurangnya kau jagalah hari keluarga mertua kau ni, selama ni pun kau tak pernah ada mak bapak mertua kan? Inilah pertama kali kau merasa,” Zakri tidak berputus asa.

Selesai segala majlis, Hilmi terasa amat letih, selepas solat Isya’, dia tertidur. Salwa masih lagi melayan Syuhadah, sebak dia mengenangkan nasib bayi secomel Syuhadah ditinggalkan ibu ketika berusia seminggu, apatah lagi dia masih menyusu badan. Sedih sungguh, dia berazam, meskipun dia bukan ibu kandung Syuhadah, namun itu akan dianggap seperti anak sendiri, apatah lagi jiwanya yang memang sukakan kanak-kanak.

“Assalamualaikum abang, bangunlah dah subuh,” Salwa mengejutkan Hilmi.

Hilmi berlalu tanpa sebarang suara. Dia terasa asing, terasa asing berkongsi bilik dengan perempuan lain, dia teringatkan Nura. Alangkah manisnya kalau yang menyambut pagi itu ialah Nura. Dia terlalu rindukan Nura.

Di meja makan Hilmi diam seribu bahasa, dia rasa terasing. Asing kerana ada perempuan lain di antara dia dan Syuhadah, dia masih belum dapat menerima kehadiran Salwa lagi. Mak Zaharah perasan akan hal itu.

“Mak harap kamu sabar banyak dengan perangai Hilmi yer, berikan dia masa, bukan senang dia nak lupakan Nura, lama-lama nanti oklah tu, kamu sabarlah yer, jangan kecil hati,” pesan Mak Zaharah semasa Salwa ke dapur menambah nasi lemak.

“Tak apa mak, saya faham, sedangkan seorang kekasih pun susah nak lupakan kekasihnya, ini tambahan pula, seorang suami, pernah hidup serumah mak, Insya-Allah doakan kami mak,” Salwa menjawab, mencerminkan kematangan pemikirannya.

“Bertuah Hilmi, bertemu jodoh dengan Salwa, Insya-Allah mak mana tak doakan anak Salwa,” ujar Mak Zaharah.

“Mak, mana raket badminton saya mak,” jerit Hilmi dari ruang tamu. Dia bercadang untuk keluar bermain badminton bersama rakan-rakannya.

“Pergi cepat ambilkan raket dia, di atas almari bilik belakang tu,” arah Mak Zaharah. Salwa patuh arahan itu, segera dia beredar mencari raket yang dipinta. Lalu bergegas dia ke depan menghulurkan buat suami yang baru sehari bersamanya.

“Abang, nah ambil ni,” hulur Salwa.

“Bukan yang inilah, tak apalah biar saya ambil sendiri,” kata Hilmi, dan berlalu pergi. “Saya pergi dulu mak,” kata Hilmi sebelum keluar rumah.

Salwa menghulurkan tangan untuk bersalam tanda hormatkan suami, namun, Hilmi berlalu dengan selamba. Hatinya sedikit terguris dengan tindakan Hilmi, namun cepat-cepat dia pujuk hati sendiri. Mak Zaharah kecewa dengan sikap Hilmi, dia kesal, sepatutnya, Hilmi menghabiskan cuti kahwinnya kali ini untuk bersama-sama Salwa, tetapi dia tak mahu, dia berkeras hendak keluar bersukan. Sudahlah cadangan dia supaya Hilmi dan Salwa pergi makan angin ke luar daerah ditolak. Alasan Hilmi ialah, rutin setiap Jumaatnya akan terbatal, iaitu mengunjungi pusara Nura.

Kini sudah sebulan Salwa dan Hilmi bergelar suami isteri, Syuhadah juga sudah pandai bermanja dan merengek dengan Salwa. Dia sudah pandai tidur berpeluk dengan Salwa. Mak Zaharah sungguh gembira, tepatlah pilihan pengganti Nura Ain. Namun Mak Zaharah kesal, Hilmi masih belum dapat menerima Salwa sepenuh hati, apa yang mampu dibuat berdoa dan menasihati Hilmi.

“Abang dah balik,” sapa Salwa bila Hilmi sudah tercegat depan pintu rumah, tangan dihulur untuk menyambut tangan suami untuk dikucup, tetapi seperti biasa Hilmi hanya acuh tak acuh sahaja.

“Syuhadah….,” panggil Hilmi. Dengan tergesa-gesa anak comel itu merangkak menuju ke papanya. Hilmi mencium dan menggomol Syuhadah, seolah-olah sudah berbulan ditinggalkan Syuhadah, sedangkan dia hanya berpisah pagi tadi sahaja.

“Abang, jemput minum,” Salwa mengajak Hilmi minum petang.

“Minumlah dulu, saya nak solat,” jawapan pendek Hilmi sekali lagi mengundang duka Salwa.

Selesai solat Maghrib, Salwa mencapai Quran, dia membaca penuh kusyuk, tanpa tersedar, air matanya turut mengalir, dadanya sebak, perasaan rendah diri pada Yang Esa, dan ditambah luka di hati, mengalir bersama juntaian air matanya, Hilmi yang menyedari keadaan itu, merasa sedikit bersalah. Namun dia hanya mendiamkan diri. Dia terus dengan kerja-kerjanya menyiapkan pelan bangunan kedai yang baru hendak dimulakan lakarannya. Selesai mengaji, Salwa turun ke bawah, menyiapkan makan malam, sekali lagi Mak Zaharah memujuk Salwa.

“Kenapa kamu menangis, Hilmi marahkan kamu,” tanya Mak Zaharah.

“Ehh, tak lah mak, dia tak cakap apa-apa, saya memang begini, kalau mengaji, kadang-kadang kalau dah khusyuk sangat dengan ayat-ayat suci tu, saya sebak sendiri,” Salwa menjawab.

“Kalau dia ada marahkan kamu, jangan selindung, cerita dengan mak yer.”

Malam itu, Salwa tidur bersama Syuhadah seperti biasa, dan Hilmi masih meneruskan kerja-kerjanya. Dan seperti biasanya, Hilmi akan tidur di atas sofa di dalam biliknya. Salwa selalu merasa berdosa, tapi apakan daya bukan salahnya, Hilmi yang tidak mahu bersama, sebulan bernikah, Salwa masih lagi seorang dara. Tak apalah, berilah dia masa, pujuk hatinya.

***

Syuhadah kini sudah pandai berjalan, lasaknya boleh tahan. Namun Salwa ligat melayan kerenah anak kecil itu, tidak pernah dia merungut. Mak Zaharah bersyukur, Syuhadah dapat ibu tiri yang cukup sempurna, lega hatinya keranan boleh menunaikan amanah Nura. Usia Syuhadah kini hampir mencecah setahun tiga bulan, ini bermakna sudah hampir 6 bulan Salwa dan Hilmi menjadi suami isteri.

“Hai Salwa, Syuhadah ni dah pun boleh berjalan, mak ucapkan terima kasih kepada kamu kerana menjaga amanah arwah Nura dengan baik, bertuah Hilmi dan Syuhadah, mak terharu kamu menjaga anak yatim ni macam anak kamu sendiri,” sebak Mak Zaharah.

“Mak, saya tak pernah anggap dia anak tiri saya, mak, saya anggap dia anak sendiri, keluarga saya pun dah menganggap dia macam cucu mereka jugak, tambahan pula, rumah saya tu, tidak ada anak suadara lagi. Lega rasanya,” kata Salwa dan menambah, “Mak saya bercadang nak ajak abang Hilmi balik rumah saya malam ni, esok kan hari minggu, hari tu, mak saya ada telefon, dia rindu dengan Syuhadah ni hah, boleh ye mak,”

“Ishh, apa pulak tidak bolehnya, pergilah kamu siap-siap, nanti Hilmi balik, lepas makan malam kamu baliklah.”

Selepas Hilmi selesai solat maghrib malam itu, Salwa mengajak Hilmi balik ke rumah maknya. Sedih hatinya bila Hilmi enggan, dia izinkan Salwa balik, dia akan menghantar Salwa dan Syuhadah, tetapi dia tidak mahu bermalam di sana, alasan, dia perlu siapkan kerja. Luluh hati Salwa.

“Kalau macam tu, tak payahlah bang, lain kali sajalah,” kata Salwa.

“Eh, kenapa, awak baliklah, saya izinkan,” Hilmi terasa bersalah jugak.

“Buat apa saya balik sendiri, sedangkan saya sudah bersuami, tempat seorang isteri bukankah di sisi seorang suami, takkan saya nak tinggalkan abang pulak,” ujar Salwa perlahan.

Hilmi tersentak mendengar kata-kata Salwa, lembut hati perempuan ni, sama macam Nura, detik hatinya. Dia benar-benar rasa bersalah, tetapi ego mematikan segalanya. “Terpulanglah kepada awak, jangan kata saya tak kasi,” Hilmi meneruskan kerja-kerjanya. Salwa mengambil kembali beg yang telah diisi dengan baju-baju dia dan Syuhadah, dan memasukkan kembali dalam almari.

Mak Zaharah sungguh terkejut dengan tindakan Hilmi, dia merasa Hilmi sudah melampau. Pagi itu selepas bersarapan, dia bertekad untuk meluahkan kepada Hilmi. “Kenapa kau buat macam tu Hilmi, kenapa kau tak bawak isteri dan anak kau balik ke rumah mertua kau? Kau nak malukan mak? Apa orang kata nanti, aku mengawal anak menantu? Hilmi aku ada anak Hilmi, aku tahu bagaimana perasaan rindukan anak Hilmi, begitu jugak ibunya Salwa, kau juga ada mak Hilmi, kau tak pernah rindukan mak, Hilmi? Begitulah halnya dengan Salwa, bawalah dia balik sehari pun jadilah, kesian dia, kesian maknya. Kau kena ingat dia jugak ada emak, bawalah dia balik, mak merayu pada kau, kalau kau tak kesiankan dia, kau kesiankan mak, mak tak mau orang kata mak dan anak bukan-bukan, kesiankan mak, bukan jauh rumah maknya itu, sejam saja perjalanannya, dan bukan orang lain maknya dengan kita,” mata Mak Zaharah mula bergenang.

Hilmi rasa bersalah, akhirnya atas permintaan emaknya, dia mengarahkan Salwa mengemas kain baju, dan mereka bertolak ke rumah mak Salwa. Gembira bukan kepalang kesemua ahli rumah Salwa menyambut kepulangan Salwa dan ‘cucu’ mereka Syuhadah, riuh rendah suara adik-adik Salwa berebutkan nak mendokong Syuhadah, maklumlah inilah ‘anak saudara’ pertama mereka.

“Dah boleh berjalan dah budak ni, makin comel mukanya, ikut muka arwahnya Nura,” kata mak mertua Hilmi. Serta merta air mukanya berubah, teringatkan Nura. Dia mintak izin ke bilik air, sekadar tidak mahu dilihat bersedih.

“Kak, bila lagi kami nak dapat anak saudara baru? Cepatlah kak, Adah ni dah boleh lari dah, nanti kalau ada adik bolehlah dia berkawan-kawan,” usik adik Salwa. Ditambah pula, oleh mak Salwa, “betul tu, betul, cepat-cepatlah Wa, nanti cepat aku dapat dua cucu.”

Salwa hanya tersenyum kelat, derita hatinya Tuhan saja yang tahu, 'Bagaimana hendak berzuriat mak, sedangkan saya ni masih lagi dara mak,' bentak hatinya. Hilmi juga mendengar, dia merasa bersalah teramat.

Dua hari di rumah Salwa dirasakan bagaikan dua tahun, lambat sungguh masa berlalu, Hilmi rimas dengan keadaan itu, dia terpaksa berpura-pura bermesra dan bersenda dengan Salwa demi menjaga nama baiknya, nama baik keluarganya, sedangkan hatinya tetap berduka. Segala kebahagiaannya hanya bersama Nura. Sebelum pulang sempat jugak mak mertuanya berpesan supaya, tegurlah Salwa kalau dia bersalah, marahkan dia kalau perlu. Namun Hilmi tersenyum dan mengangguk, hati berdetik, apalah yang nak ditegur gadis sebaik Salwa, apalah yang hendak dimarahkan gadis semurni Salwa.

Di dalam kereta, Syuhadah sudah terlentuk di riba Salwa. Hilmi tekun memandu, masing-masing diam seribu bahasa. Begitulah kehidupan sebenar mereka, bercakap sekiranya perlu. Salwa termenung mengingatkan alangkah bahagianya kalau Hilmi tidak berpura-pura seperti mana di rumah ibunya tadi, Hilmi melayan dia seperti tidak ada apa-apa berlaku. Hilmi pula teringatkan Nura, dia membayangkan alangkah bahagianya sekiranya wanita di sebelahnya yang sedang meriba Syuhadah ialah Nura Ain.

“Abang, kenapa ni…..,” jerit Salwa tersentak kerana tiba-tiba kereta hilang kawalan.

“Tayar pancit ni, Salwa, buka pintu, terjun-terjun.” Keadaan cemas, tapi masih terkawal.

bersambung ...

2 comments:

Honeylemon said...

adeh... bila nk abis nie......???

accident yg meragut nyawa ker???

aL-gOjO said...

Hehehe
teruskan membaca :)
Adegan penuh suspen.

Apa nasib Hilmi, Salwa dan Syuhadah?
Adakah mereka terselamat dalam kemalangan tersebut? (dah macam thriller filem :p )

Saksikan bahagian akhir esok! Schedule at 8.00am :)

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin