02 July 2008

Part 2

Sinar Harapan

Abang pulanglah abang, pulanglah Nura ingin beritahu perkhabaran ini, pulang abang, doa Nura. Nura kecewa tapi masih menanti, bila masuk hari ketiga dia sudah tidak sabar lagi, dia menelefon ke pejabat. Dan telefon itu disambut oleh Zikri.

"Syukurlah Nura kau telefon aku, ada perkara aku nak cakap ni, boleh aku jumpa kau? tanya Zikri.

"Eh tak bolehlah aku ni kan isteri orang, mana boleh jumpa kau tanpa izin suami aku, berdosa tau", tolak Nura.

Pilunya hati Zikri mendengar pengakuan Nura itu. Setianya kau perempuan, bisik hatinya.

"Oklah kalau macam tu, aku pergi rumah kau, aku pergi dengan mak aku boleh?" pinta Zikri.

"Ok, kalau macam tu tak apalah, aku pun dah lama tak jumpa mak kau, last sekali masa konvo kita 6 tahun lepas kan?" setuju Nura.

***

"Eh kenapa pucat semacam ni? tegur Mak Siti. Nura hanya tersenyum penuh makna, dan membisik, "Allah makbulkan doa saya mak cik". Pilu hati Mak Siti dan betapa dia sedar betapa Allah itu Maha Mengetahui apa yang Dia lakukan.

Segera Mak Siti mendapat Zikri di ruang tamu dan khabarkan berita itu. Zikri serba salah.

"Nura, aku anggap kau macam saudara aku, aku tak tahu macam mana nak mulakan, aku harap kau tabah dan tenang, sebenarnya Hilmi dalam proses untuk berkahwin lagi satu, dan aku sayangkan korang macam saudara sendiri, dan aku tak sanggup rumah tangga korang musnah macam ni, kau tanyalah dengan Hilmi dan bincanglah, cubalah selamatkan rumah tangga korang." terang Zikri.

Nura menangis semahunya di bahu Mak Siti, rasa hampir luruh jantung mendengarkan penjelasan itu. Patutlah selalu tidak balik rumah. Berita gembira yang diterima pagi tadi, sudah tidak bermakna. Nura menantikan Hilmi sehingga ke pagi, namun dia masih gagal.

Dua hari kemudian Hilmi pulang dan sibuk mengambil beberapa pakaian penting, dan masa ini Nura bertekad untuk bertanya.

"Ya, betul apa yang Nura dengar tu, dan kami akan langsungkan jugak, dan abang takkan lepaskan Nura, itu janji abang, mak ayah pun dah tahu dan mereka tak kisah asalkan abang tidak lepaskan Nura, kerana mereka juga sayangkan Nura, dan Nura kena faham abang inginkan zuriat sendiri, walau apa pun persiapan sedang dibuat, abang janji takkan abaikan Nura." Janji Hilmi.

Nura sayu mendengar, dan bagaikan kelu lidahnya untuk berkata-kata. Dan segala perkhabaran gembira itu terbunuh menjadi khabar duka. Nura terlalu kecewa.

***

Hilmi masih menanti di luar, rasa amat bersalah bersarang di kepala, sejak dihubungi Zikri, dia bergegas ke hospital apabila dimaklumkan Nura pengsan dan mengalami pendarahan. Doktor dan jururawat keluar masuk. Dia masih resah.

"Insya-Allah En. Hilmi, dua-dua selamat", terang doktor pada Hilmi.

"Dua-dua apa maksud doktor? tanya Hilmi.

"Dua-dua ibu dan baby dalam kandungan tu, tapi dia kena banyak berehat kerana rahimnya tidak begitu kukuh, saya takut banyak bergerak akan menyebabkan berlaku keguguran, tapi kami dah mulakan injection untuk kuatkan paru-paru baby dan jahitkan rahim dia dan bersedia untuk early delivery dalam kes macam ni," terang doktor.

"Ya Allah Nura mengandung, Ya Allah berdosanya aku pada Nura, kesal Hilmi. Malu rasanya untuk menatap muka Nura.

"Kenapa Nura tak bagi tahu abang yang Nura mengandung? kesal Hilmi.

"Nura memang nak bagitau abang tapi, bila abang cakap abang sudah bertunang dan akan berkahwin dengan perempuan Nura tak sampai hati bang, Nura tak sanggup abang malu dan keluarga abang malu." Jelas Nura.

"Nura sebenarnya, abang belum bertunang dengan budak tu, abang cuma sekadar berkawan sahaja. Belum pernah abang bincangkan soal kawin lagi, dan abang tak sanggup nak teruskan hubungan tu lagi kerana abang akan jadi ayah tidak lama lagi." janji Hilmi.

Kesal kerana mengabaikan Nura yang mengandung itu, membuatkan Nura risau dan akhirnya pitam di halaman rumah, mujurlah ada jiran nampak dan membawa ke hospital, dan mujur jugak Nura pengsan di halaman, dapat dilihat orang.

***

"Mama, kenapa mama buat tu, biarlah mak yang buat," marah Hilmi bila melihatkan Nura cuba menyapu lantai. Sejak keluar hospital hari tu, mertua dia meminta supaya Nura tinggal saja di rumah sehingga bersalin kerana dia memang tidak dibenarkan doktor melakukan sebarang kerja, bimbang keguguran kerana rahimnya tidak kuat.

"Ala Papa ni, biarlah mama buat sikit sajalah." balas Nura. Itulah panggilan manja mereka sekarang ni.

Dengan pengawasan rapi doktor, yang setiap dua tiga sekali akan melakukan pemeriksaan, dan bila usia kandungan mencecah 6 bulan, doktor mengarahkan supaya Nura hanya berehat di hospital, supaya senang

mengawasi Nura dan andainya apa-apa berlaku Nura akan terus dibedah untuk menyelamatkan nyawanya dan bayi yang dikandung. Setiap hari Nura akan dilawati oleh Hilmi. Nura amat bahagia, ternyata bayi yang

dikandung membawa sinar, amat berharga kehadiran dia nanti, sebab itulah Nura sanggup tinggal di hospital, sanggup menelan berjenis ubat, sanggup disuntik apa saja semuanya demi bayi itu.

Kandungan sudah di penghujung 7 bulan, Nura amat bahagia merasakan gerakan-gerakan manja bayi yang dikandungnya. Setiap tendangan bayi dirasakan amat membahagiakan. Doktor makin teliti menjaga Nura, kerana bimbang berlaku pertumpahan darah, dan akhirnya apa yang dibimbangi para doktor menjadi nyata apabila Nura mengalami pertumpahan darah yang serius, lantas terus dia ditolak ke dalam bilik bedah dalam masa beberapa minit sahaja. Hilmi tiba bersama ibu dan ayahnya, dia panik sekali, namun

cuba ditenangkan oleh kedua orang tuanya. Hampir 1 jam berlalu, apakah khabarnya Nura di dalam sana. Hilmi makin risau, setengah jam kemudian doktor keluar.

Hilmi meluru "doktor bagaimana isteri saya ?", Hilmi terus bertanya.

"Sabar, kami telah cuba sedaya upaya, tahniah anak encik selamat, encik dapat anak perempuan, seberat 2.1 kilogram, dan kini kami cuba sedaya upaya untuk selamatkan Puan Nura Ain." terang doktor.

"Apa maksud doktor? Tanya Hilmi yang sudah tidak sabar.

"Begini, dia kehilangan banyak darah, kami cuba sedaya upaya menggantikan darahnya yang keluar itu, dan masih berusaha, namun rahimnya terus berdarah dan kami mohon kebenaran untuk membuang terus rahimnya demi menyelamatkan nyawanya." jelas doktor.

"Buatlah doktor, saya izinkan asalkan isteri saya selamat."

***

"Ermmm... lekanya dia sampai terlena." tegur Hilmi sambil membelai dan mengusap kepala Nur Syuhadah yang terlena akibat kenyang selepas menyusu dengan Nura.

Nura hanya tersenyum. Hari ni genap seminggu usia Syuhadah. Nura Ain masih lemah akibat kehilangan banyak darah. Namun dikuatkan semangat demi Nur Syuhadah buah hatinya. Dia mencium sepenuh kasih sayang pipi comel anaknya itu. Dia membelai sayu wajah comel itu. Entah kenapa dia rasa seperti terlalu sayu hari itu, hatinya terlalu sepi, semalam dia mimpikan arwah ibunya, datang menjenguk dia dan Syuhadah, tanpa suara, ibunya hanya tersenyum. Dan akhirnya berlalu begitu sahaja. Hari ini Nura menjadi seorang perindu, dia rindukan ibunya, dan diceritakan perkara itu pada Hilmi.

"Mungkin mak Nura datang tengok cucu dia, dan dia amat gembira". pujuk Hilmi menenangkan Nura.

"Abang... tolong Nura bang!!" laung Nura dari bilik air.

"Ya Allah Nura kenapa ni? Hilmi ketakutan. "Mak... tolong mak... makkkkkkkkkkk" Hilmi menjerit memanggil emaknya didapur.

"Cepat, bawak pergi hospital, cepat Hilmi" perintah Mak Zaharah.

***

"Maaf dia tidak dapat kami selamatkan, terlalu banyak darah yang keluar, dan kami tak sempat berbuat apa-apa, dia terlalu lemah dan akhirnya dia 'dijemputNya", terang doktor. Terduduk Hilmi mendengarkan hal itu.

Jenazah selamat dikebumikan. Syuhadah seakan mengerti yang dia sudah tidak akan menikmati titisan-titisan susu Nura Ain lagi. Syuhadah menangis seolah-olah ingin memberitahu dunia yang dia perlukan seorang ibu, seorang ibu yang bersusah payah, bersabung nyawa demi untuk melihat kelahirannya.

Demi membahagiakan papanya, demi membahagiakan neneknya. Syuhadah terus menangis seolah-olah tidak rela dia dipisahkan dengan ibunya hanya bersamanya untuk sekejap cuma. Semua yang hadir kelihatan mengesat mata, tidak sanggup mendengar tangisan bayi kecil itu. Semua terpaku dan terharu, Hilmi mendukung Syuhadah dan memujuk bayi kecil itu, akhirnya dia terlelap didakapan papanya.

***

Abang yang Nura rindui,

Abang, maafkan Nura kerana selama ini tidak mampu menjadi isteri yang terbaik buat abang. Saat abang membaca surat ini, mungkin Nura sudah jauh meninggalkan abang, Nura tak harapkan Nura akan selamat melahirkan anak ini, tapi Nura harap bayi akan selamat walau apa yang terjadi pada Nura.

Itu harapan Nura bang. Nura masih ingat, rumah tangga kita hampir runtuh kerana Nura tidak mampu memberikan zuriat buat abang, tapi bang, kali ni doa Nura dimakbulkan, dan untuk itu, biarlah Nura menanggung segala kepayahan demi zuriat ini bang.

Saat Nura menulis surat ini, Nura masih lagi menjadi penghuni setiap katil hospital ini. Baby kita makin nakal bergerak bang, tapi Nura bahagia merasa setiap tendangan dia abang, Nura bahagia, cukuplah saat manis ini Nura dan dia. Nura rasakan setiap pergerakannya amat bermakna, dan andainya ditakdirkan Nura hanya ditakdirkan untuk bahagia bersama dia hanya dalam kandungan sahaja Nura redha bang. Siapalah Nura untuk menolak ketentuanNya. Nura tak mampu abang.

Cukup bersyukur kerana sekurang-kurangnya Allah makbulkan doa Nura untuk mengandungkan zuriat dari benih abang yang Nura cintai dan kasihi selamanya. Nura redha sekiranya selepas ini walau apa terjadi, Nura redha, kerana Allah telah memberikan Nura sesuatu yang cukup istemewa, dan andainya maut memisahkan kita Nura harap abang redha sebagaimana Nura redha.

Syukurlah sekurang-kurang Allah berikan nikmat kepada Nura untuk merasai nikmatnya menjadi seorang ibu walau cuma seketika.

Andai apa yang Nura takutkan terjadi, dan bayi ini dapat diselamatkan Nura harap abang akan jaganya dengan penuh kasih sayang. Nura harap abang jangan biarkan hidupnya tanpa seorang ibu. Cuma satu

Nura harapkan dia akan mendapat seorang ibu yang mampu menjaga seorang anak yatim dengan baik dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Seumur hayat Nura, Nura tak pernah meminta sesuatu dari abang, dan kini inilah permintaan Nura, janjilah anak ini akan mendapat seorang ibu yang penyayang.

Abang yang Nura rindui... Dulu sewaktu rumah tangga kita dilandai badai, Nura ingin sangat ucapkan kata-kata ini pada abang, tapi Nura tak berkesempatan, dan walaupun kini Nura tiada lagi, tapi Nura nak abang tahu yang... Nura rindukan abang... ... Nura rindu sangat dengan abang... ..rindu bang... rindu sangat... . Sekian,

Ikhlas dari nurani isterimu

Nura Ain Bt. Abdullah"

Hilmi melipat kembali surat itu, yang telah dibaca berulang kali dan kini dia amat rindukan Nura Ain...dan kini barulah dia sedar betapa berharga sebuah kerinduan itu.....

Nura.... abang juga rindukanmu sayang.. bisik hati Hilmi.

***

Andai angin itu mampu menyampaikan rindu, bertiuplah bayu, sampaikan rindu hati ini….. Andainya air yang mengalirkan mampu menghanyutkan duka, mengalirkan sungai hanyutkan duka hati ini… Andainya sekali ombak menghempas pantai mampu merubah pasir, hempaskan sang ombak sekuat hatimu, ubahlah nasibku ini…. Tapi, aku masih terus begini, tidak sudikan kau sang bayu, sungai dan ombak menolong diriku…

Hilmi menutup kembali surah Yassin, dan melipat tikar kecil yang dijadikan alas duduknya. Longlai langkahnya menuju ke kereta. Enjin kereta dihidupkan, lantas dia memecut ke pejabat. Tepat jam 8.50 pagi dia sudah selesai punch card.

“Kau ke kubur lagi Mi?”, sapa Zakri.

“Ha’ah, selagi belum hilang rinduku pada Nura,” balas Hilmi.

“Kau ni, sudahlah tu, binalah hidup baru, aku tak suruh kau lupakan dia, tetapi, yang pergi biarkan pergi kita yang hidup mesti teruskan hidup, kau jangan ikutkan hati sangat Mi, buruk padahnya nanti, kau lupa ker, Nura berpesan supaya carikan pengganti untuk Syuhadah tu, sanggup ke kau lihat budak tak berdosa tu membesar tanpa kasih sayang seorang ibu, carilah seorang ibu untuk Adah Mi,” Zakri cuba menasihati.

“Entahlah Zack, hati hanya untuk Nura, seluruh kasih sayangku hanya untuk Nura, cuma aku tak sempat buktikan padanya, aku terkilan sungguh Zack, kenapa aku sia-sia kasih sayang Nura selama ni Zack? Kenapa aku tak sedar betapa luhur dan sucinya kasih Nura untuk aku? Kenapa Zack?, 8 tahun aku mengenalinya, hampir 6 tahun aku hidup sembumbung dengannya takkan aku boleh melupakannya dengan mudah dalam tempoh 10 bulan ini, sukar Zack, sukar..” Hilmi sebak bila mengenangkan semua itu.

“Mi, sudahlah, aku rasa fikirkan tentang Syuhadah, bukan fikir tentang perkara lepas, tentang kesilapan kau, tebuslah kesalahan itu dengan membahagiakan buah hati pertama dan terakhir kau dan Nura,” Zakri jugak agak sebak.

“Doakanlah Mi, doakan semoga aku tabah, dan doakan semoga aku bertemu insan yang mampu menjaga seorang anak yatim tidak berdosa seperti Adah dengan baik, doakanlah aku Zack,” pinta Hilmi. Arrghhh rindunya abang pada Nura.

“Insya-Allah, dah le buat ler kerja kau tu,” Zakri kembali menyambung tugasannya.

Syuhadah merangkak menuju ke arah papanya. Hilmi tersenyum riang melihat telatah Syuhadah yang sungguh manja. Hatinya tersentuh bila mengenangkan anak sekecil itu, tidak merasa belaian kasih sayang seorang ibu, sebak hatinya mengenangkan, nasib anak kecil itu.

“Hah dah balik kau, tak dengar bunyi kereta pun?” tanya Mak Zaharah.

“Saya tinggalkan di luar mak, nanti lepas maghrib saya nak keluar semula.”

“Kau nak jumpa perempuan tu?,” maknya mula menyangka. Hilmi mengangguk.

“Hilmi, kalau dengan budak tu, kau nak jadikan mak Syuhadah menggantikan Nura, mati hidup balik mak tak kasi. Biarlah mak saja yang menjaganya. Mak tak sanggup, mak tak yakin langsung dia boleh menjaga Syuhadah dengan baik, hari tu datang sini, nak menyiang ikan pun tak mahu, takut kuku patah katanya, itu kau nak jadikan isteri, itu kau nak jadikan mak Syuhadah? Aku tak sanggup Mi,” maknya meluahkan.

“Entahlah mak, saya pun belum buat apa-apa keputusan,” Hilmi berlalu.

Hilmi melihat jam di tangan, sudah hampir pukul 9.30 malam, lewat lagi Zati nampaknya getus hatinya. Dia bertekad, lagi lima belas minit kalau dia tak datang, Hilmi akan pulang. Lapan minit berlalu, tiba-tiba dia nampak kelibat Zati masuk ke dalam restoran itu.

“Sorry Hilmi, I baru balik dari site, kena pergi office dulu, buat report, sorry yek…,” Zati beralasan.

“Ermmm, lama I tunggu di sini, I dah nak balik pun, kalau iyer pun telefonlah beritahu,” Hilmi hampir bosan, setiap kali berjumpa Zati mesti lewat.

“Kan I cakap, alasan I kenapa pulak you nak marah I, telefon I habis baterilah, lecehlah you ni tunggu sekejap pun dah bising,” Zati mengomel.

“Sudahlah, you nak makan apa?,” Hilmi malas bertekak.

“Ermm, actually I dah makan tadi kat site, client belanja, kenyang lagi ni, lagipun takut gemuk, just mintak fresh orange jer lah,” pinta Zati.

“Huhhh, sejam orang tunggu dia, alih-alih kena makan sorang jugak, baik makan terus jer dari tadi,” Hilmi mula terasa hati dengan sikap Zati.

“Rilekslah you ni lorat ler,” Zati megeluh.

Zati sibuk berceritakan soal projek dia, projek yang akan menentukan masa depannya, dia ghairah bercerita mengenai projek dia, Hilmi hanya mendengar sambil menyuap makanan ke mulut, makanan ditelan terasa seperti menelan pasir saja. Akhirnya Hilmi bersuara.

“Zati, I nak berbincang satu perkara dengan you, please listen.”

“What, ceritalah,” Zati berkata.

“You tahukan, wife I dah meninggal sepuluh bulan yang lepas, dan I punya anak, yang juga berusia sepuluh bulan, I ingin mulakan hidup baru Zati, sudikah you jadi mother untuk anak I Zati?” Hilmi bertanya.

“What! Hilmi, apa ni? I belum bersedia hendak berumah tangga lah Hilmi, apatah lagi nak punya anak, tambahan pulak bukan anak I, ishh apa ni, tak maulah I, kalau I nak kahwin dengan you pun bukan sekarang mungkin 2 tahun lagi, I baru kerja, I masih perlu baiki kerjaya I dulu, kalau I kahwin dengan you pun belum tentu I boleh terima anak you Hilmi, sorrylah,” Zati menerangkan.

Penerangan Zati cukup mengundang dan menambah luka di hati Hilmi. Mereka berpisah pada malam itu, namun, Hilmi bertekad, pertemuannya dengan Zati malam itu, adalah pertemuan yang terakhir. Betul kata ibunya, Zati tidak sesuai untuk menjadi ibu Syuhadah. Bukan Hilmi yang kemaruk hendak berbini, tapi dia memikirkan Syuhada yang perlukan seorang ibu.

bersambung ...


3 comments:

Honeylemon said...

eeeeyyyhhh.. ingatkan nk abiskn... brsambung upanyer.... hehehe....

aL-gOjO said...

Suspen²
apa jadi seterusnya? kita tunggu esok :)

Anonymous said...

erm..kalo dari awal cerita ni..si zati tu mmg tak leh buat bini..yuhhuu..laki orang pon nak jugak..apa da!Terang lg bersuluh.tp tak salahkan pompuan gaks..kadang2 laki pon tak sedar diri..dah ada bini cakap single lagi..dah ada tunang ka awek ka cakap single lg.erm..laki.laki..ish3.kalo bertepuk sebelah tgn, takkan berbunyi..

renung2kan..lu pikir la sendiri..hahahahaha

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin